Google

Rabu, 07 November 2007

FAKTOR MATERIAL PENTING UNTUK MENARIK?

Dipetik daripada buku TIP MENJADI INDIVIDU MENARIK

"Dia memandu BMW siri 5 terbaru, memperagakan sut Zegna, makan di Hilton KL, tinggal di kawasan mewah Kenny Hill. Wah! Sesungguhnya dia seorang yang menarik!"

Jadi kaya mesti jadi menarik

Sekarang kita sedang berada di abad-21. Zaman di mana surat hanya boleh merentasi benua dalam tempoh kurang sesaat! Ini bukan zaman kuno bilamana George Behnard Shaw menulis surat cinta kepada kekasihnya Ellie berpuluhan tahun. Hakikat faktor kebendaan yang menjadikan seorang menarik adalah jelas pada zaman sekarang. Apa buktinya? Lihat sahaja barangan berjenama di jual di mana-mana dan terus dibeli oleh orang ramai. Kereta mewah dan barangan mewah lain terus menjadi rebutan. Pada asasnya semua barangan itu adalah keperluan bagi meneruskan hidup seperti kereta yang membawa seorang dari satu tempat ke tempat lain serta pakaian menutup tubuh dan lain-lain. Bagaimanapun zaman ini memiliki keperluan itu dengan jenama yang berprestij menjadi ‘alat solek’ kepada orang terutama lelaki.

Fenomena jenama pakaian dan barangan mewah

Ada orang berpendapat apabila seorang makan di tempat yang hebat, kita juga kelihatan hebat. Ada kebenarannya dalam kes seorang rakan saya. Rakan saya membawa kekasihnya mencuba makanan di satu restoran antarabangsa supaya merasa apakah hebatnya makan di restoran mewah. Apa yang dialami adalah dengan membelanjakan hampir RM 90 bagi dua orang, dia pulang dengan perut yang masih lapar dan terpaksa singgah di warung mamak untuk makan roti canai ‘potong banjir’ dan teh tarik yang bernilai RM1.70! Apabila ditanya “Apakah yang saudara dapat dengan makan di restoran mewah?” Dia menjawab “kepuasan dan rasa elegen.” “Walaupun lapar balik sebelum sampai ke rumah?” Sindir seorang lagi rakan. “Rasa kemewahan ada harga tersendiri, kita kena bayarlah harganya.”
Kaya mesti bergaya

Trend masyarakat meletakkan status yang tinggi kepada orang yang kaya raya. Sekiranya seorang itu memandu kereta mewah maka semasa itulah dia dilihat seorang yang menarik. Bayangkan satu hari nanti kita melihat dia menaiki bas Rapid KL bersesak-sesak dengan penumpang lain, adakah dia tetap dilihat menarik? Kalau tidak menarik, ke manakah hilangnya sifat menarik pada diri lelaki itu dahulu? Jawapannya ia di tinggalkan di dalam kereta mewah yang ‘ditarik’ itu.

Justeru itu orang kaya, sama ada dia memang kaya raya, kaya sikit-sikit, tiba-tiba jadi kaya, bapa sahaja yang kaya ataupun sebagainya, hanya mencantikkan dirinya dengan harta benda yang boleh menjadikan mereka menarik. Maka mereka menjadi menarik sebab faktor material yang mereka miliki itu menarik.

Perlukah memiliki kereta import untuk jadi menarik?

Sebab itu semua orang sekiranya boleh, hendak beli kereta Mercedes barulah nampak menarik. Samalah memiliki wang yang banyak dan kad kredit. Jadi dia boleh jadi menarik dengan semua kuasa material. Akhirnya tidak sedar hutang keliling pinggang untuk nampak menarik.

Dia tinggal di Kenny Hill

Terdapat beberapa kawasan mewah di tengah bandar ataupun di pinggir bandar Kuala Lumpur. Kawasan seperti ini adalah tempat tinggal orang kaya. Apabila seseorang berkata yang dia tinggal di kawasan seperti Kenny Hill, Sri Hartamas, Country Height, Mont Kiara dan sebagainya, kita selalu menganggap mereka semua itu ada daya penarik tersendiri.

Material penting bagi menjalani hidup tetapi tidak menjadi sasaran

Keperluan material penting, ia tidak boleh dipandang ringan. Islam menggalakkan orang yang berusaha bagi mengumpul harta. Ini kerana kefakiran boleh membawa kepada tebing kekufuran. Namun begitu faktor material hanya faktor tunggangan bukannya kita yang ditunggang oleh harta dan material.

Jangan kena tipu dengan harta

Apabila orang itu dilihat menarik kerana faktor material, sifat menariknya terlekat pada harta benda mereka, bukannya pada diri mereka sendiri. Tidak bermakna orang yang memiliki kekayaan tidak memiliki kekayaan dan keistimewaan lain yang dibincangkan dalam bahagian ini. Mungkin seorang itu ada harta benda dan juga dia seorang yang berpendidikan tinggi dan banyak faktor-faktor lain supaya menjadi menarik.



sumber : http://www.drcinta.com

Tidak ada komentar: